Isu Minyak dan Orang naik minyak

Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abd Samad membayangkan harga minyak (petrol dan diesel) akan naik pada bulan Ogos 2008 ini. Bagaimanapun, beliau menegaskan ia semestinya setelah mekanisme subsidi minyak dirangka dan diputuskan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula enggan mengulas lanjut tetapi memaklumkan bahawa kerajaan akan mengumumkan kaedah atau mekanisme subsidi minyak pada hari Rabu (4 Jun 2008). Ia juga akan dilaksanakan secepat mungkin bagi mengelak sebarang spekulasi timbul.

Demikianlah antara kata-kata penting yang diluahkan oleh dua insan yang berkuasa dan diberi tanggungjawab menangani isu kenaikan harga minyak. Semua tahu betapa minyak merupakan asas penting kepada pertumbuhan ekonomi negara dan lebih dari itu, minyak sudah sinonim dengan isu kepenggunaan.

Kenaikan harga minyak secara relatifnya akan membawa kepada kenaikan pelbagai barang asas pengguna. Tidak terkecuali barang dan perkhidmatan lain juga dinaikkan harganya walaupun ia tidak berkaitan secara langsung dengan penggunaan minyak. Mungkin lucu tapi realitinya anda akan terkejut beruk jika bayaran masuk ke tandas awam juga dinaikkan dengan alasan harga minyak naik!!!!! Soalnya pengguna atau rakyat umumnya akan mula merasakan bahang kepanasan isu ini dan diakhirnya kita yang bernama rakyat Malaysia jua yang akan menempuh keperitan tersebut.