Cerita Tidur

Dalam sebuah kampung tinggal tiga beranak. Rumah mereka sangat jauh ke dalam hutan. Pada suatu malam, Mak Mah telah dijemput untuk menghadiri persiapan kenduri kahwin di kampung sebelah dan jaraknya agak jauh di bandar. Maka, sebelum Mak Mah keluar meninggalkan rumah, dia telahpun menidurkan dua (2) orang anaknya itu. Si adik tidur di dalam bilik dan Si abang pula tidur di ruang tamu rumah.

Setelah lama Mak Mah pergi meninggalkan rumah, Si abang tetiba terjaga oleh kerana mendengar bunyi pelik di dalam bilik seperti seseorang sedang melakukan sesuatu.

Maka, Si abang pun bertanya;
"Mak, buat apa tu?"
"Mak sedang makan sireh ni"
Jawab suara itu.

Setelah setengah jam kemudian, bunyi pelik tersebut kedengaran lagi. Dan Si abang yang tidak berpuas hati bertanya lagi;
"Mak, nape tak tidur lagi? Mak buat ape?"
"Mak tengah makan sireh ni sayang"
Jawab suara itu lagi dari dalam bilik tidur adiknya.

Oleh kerana rasa tidak puas hati dengan jawapan itu lagi, Si abang bingkas bangun dan menuju ke pintu bilik yang mana tempat adiknya tidur. Maka, pintu bilik di tolak perlahan-lahan. Bunyi engsel pintu berusia setengah abad itu memecahkan kesunyian malam.

Dan Si abang terperanjat apabila dilihat seekor lembaga berbulu dan bermata merah sedang meratah lengan adiknya. Dan ternyatalah suara tersebut adalah daripada lembaga tersebut yang disangka ibunya. Maka, Si abang yang tidak dapat menahan ketakutan akhirnya menjerit sekuat hati meminta tolong.

Lembaga berbulu menyerupai seekor mawas bermata merah terus melompat ke bucu siling membawa ratahan lengan adik Si abang. Lembaga itu mengilai nyaring. Sambil melompat-lompat antara bucu siling rumah kampung tersebut.

Pada detik cemas tersebut, Si abang yang ketakutan separuh mati berlari meminta pertolongan dan akhirnya sekumpulan penduduk kampung beramai-ramai menuju ke rumah tersebut untuk menyelamatkan keadaan. Tetapi usaha tersebut sudah terlambat, lembaga tersebut telahpun menghilangkan diri dan hanya sisa tulang dan serpihan tubuh kecil Si adik sahaja yang tinggal. Maka, tamatlah cerita berkenaan lembaga tersebut.

Sebenarnya, cerita ini telah diceritakan oleh arwah nenek aku semasa aku berusia 10 tahun. Pada masa tersebut, aku sangat takut dan akhirnya tertidur.


pic by flickr

Labels: , , , ,