Tokay Gecko Diburu EP.02

Dalam topik lepas, saya telah pun mengulas berkenaan kenapa cicak Tokek atau Gekko Gecko sangat tinggi nilainya dipasaran (rujuk : http://www.encikshino.com/2010/08/tokay-gecko-diburu.html dan http://www.encikshino.com/2010/06/duit-atas-angin.html) Seperti semua pembaca tahu, harga cicak Tokek telah mencapai nilai sehingga jutaan ringgit malaysia. Maka, ramailah antara mereka telahpun menjadi jutawan segera!
 

Hebahan Media Massa
Tambahan pula hebahan media seperti Buletin Utama di TV3 dan laporan akhbar Metro, maka, ramailah antara mereka mengambil peluang bagi membeli dan menangkap haiwan tersebut sehinggakan berlaku lambakan haiwan ini dipasaran dengan pelbagai saiz yang berbeza-beza. 

Sehingga kini berlaku pula spekulasi yang mengatakan bahawa harga pasaran cicak Tokek berbeza mengikut jumlah berat badan haiwan tersebut. Menurut laporan akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 8 Ogos 2010, Tokek seberat 350g mampu mengeluarkan enzim yang berguna bagi mengubati penyakit serta mempunyai nilai yang tinggi dipasaran. Pernyataan tersebut terus menyakinkan bahawa ukuran berat badan Tokek menjadi asas bagi perolehan enzim tersebut. Yang pasti tiada kajian ke atas hal tersebut. 

Apa yang menjadi persoalannya ialah kenapa berat badan  cicak Tokek lebih diutamakan daripada tahap kebolehan enzim dikeluarkan oleh haiwan tersebut? Sedangkan haiwan tersebut boleh digemukkan dengan pemakanan yang lebih baik apabila dipelihara. Bukankah kematangan haiwan tersebut patut diutamakan bagi memberikan kualiti pengeluaran enzim yang lebih baik? 

Ingin dikongsikan di sini, seorang kawan saya mempunyai sepasang cicak Tokek seberat hanya 100g  bagi setiap ekor yang diperolehi daripada hutan berhampiran. Haiwan tersebut telah mula bertelur setelah dipelihara selama (2) dua minggu. Ini menunjukkan bahawa cicak Tokek tersebut telahpun matang dan sudah pasti mempunyai enzim yang dikehendaki. 

Jika difikirkan secara logik, adakah seekor cicak Tokek yang belum matang tetapi telah mencapai berat 500g oleh kerana proses pengemukkan boleh mengeluarkan enzim yang dikendaki?? Sedangkan umur cicak tersebut masih muda cuma keadaan fizikal sahaja yang besar. 

Seperti yang kita semua tahu, kematangan sesuatu benda hidup adalah bergantung kepada usia dan bukanlah dinilai dengan berat badan semata-mata. Malah manusia sendiri mempunyai tahap kematangan tertentu. Begitu juga dengan ayam, lembu, ikan dan lain-lain. Maka, tidak mustahil juga cicak Tokek yang seberat kurang 100g telah matang sempurna dan mampu bertelur serta tidak mustahil juga boleh mengeluarkan enzim yang dikehendaki. 

Secara ringkasnya, disini dapat juga disimpulkan bahawa ia adalah satu strategi  sesetengah pihak tertentu yang ingin membeli dan memiliki cicak Tokek yang bernilai tinggi ini dengan harga yang murah oleh kerana dikatakan tidak cukup berat. Malah mereka menawarkan harga yang amat tinggi jika memiliki haiwan tersebut dengan berat tertentu. 

Selain itu juga, timbul persoalan berapa banyakkah enzim yang diperolehi daripada  hanya seekor cicak Tokek seberat 350g? Sedangkan cicak Tokek tersebut amat jarang ditemui. Malah cara hidup cicak Tokek di alam semulajadi amat terhad dari segi perolehan makanan. Maka, jumlah cicak Tokek yang mencapai berat 1 Kg seperti mustahil dijumpai. Oleh yang demikianlah, ada mereka yang berani menawarkannya dengan harga tinggi. Jika dijumpai pun, adakah ia cukup dengan satu ekor sahaja bagi membekalkan enzim yang mungkin hanya beberapa titis

Kes tersebut adalah sama seperti madu lebah dipasaran. Madu lebah asli liar dari pokok Tualang sangat tinggi nilainya kerana ia datang daripada alam semulajadi. Seperti para pembaca sedia maklum, madu lebah liar dari pokok Tualang sangat berkhasiat dan lebih bermutu malah harganya amat tinggi berbanding lebah yang diternak diladang-ladang.  Kes ini sama seperti nilai khasiat ayam kampung berbanding ayam daging. Begitu jugalah boleh dikaitkan dengan senario cicak Tokek yang ditangkap liar, berbanding yang telah lama diternak walaupun beratnya mencecah 10 Kg!! 

Pemeliharaan
Jika dikongsi dari segi pengalaman, cicak Tokek ini hidupnya berpasangan dan amat susah untuk dijinakkan. Malah, jika membelanya hampir setahun, belum tentu ia akan menjadi jinak. Selain itu juga, status kadar hidup anak cicak Tokek yang baru menetas sangat rendah. Sehingga kini, populasi dan kawasan semulajadi haiwan tersebut mula menurun disebabkan pertembungan dengan arus pembangunan dengan manusia. Tambahlah lagi, pada masa sekarang ramai yang hanya tahu memburu cicak Tokek tetapi tidak mampu memeliharanya oleh kerana kulitnya yang sensitif dan keadaan sekeliling serta suhu yang kurang sesuai, haiwan ini akan mudah stress dan tidak mahu makan. 

Keadaan cicak Tokek yang tidak "mesra alam" atau susah untuk dijinakkan memberikan kesan gigitan yang kuat tanpa henti dibahagian yang digigit menyebabkan jangkitan bakteria seperti Salmonella. 


Shino said : Spekulasi harga !!

Labels: , , ,