Bulan Mulia Bulan Ramadhan

Sekarang dah masuk pertengahan Ramadhan. Alhamdulillah sehingga kini saya dapat menunaikan ibadat puasa pada tahun ni dengan baik. Allah dah bagi kesihatan tubuh badan dan rezeki kepada saya. Syukur lah.

Pada tahun ini berbeza dengan tahun-tahun lepas yang mana saya tidak lagi berdua setelah kelahiran anakanda tersayang, Khalish Iskandar. Sudah pasti banyak kenangan manis bersama keluarga, isteri dan anak. Maklumlah kadang-kala tanggungjawab tu dah makin besar. Jadi kita yang baru nak kenal erti hidup ni kenalah banyak-banyak bersabar dan lebih rasional dalam melakukan sesuatu tindakan.

Bercakap mengenai rezeki di bulan Ramadhan ni, ramai juga yang mendapat kebaikan daripada menjelmanya bulan yang mulia ini. Kalau dilihat pada bulan-bulan biasa, aktiviti menjual makanan juadah berbuka lebih meriah kali ini. Itulah dikatakan lubuk rezeki kepada peniaga. Malah ada juga yang sanggup bercuti kerja tanpa gaji untuk berniaga di bazar Ramadhan. Semoga dilimpahkan lagi rezeki buat mereka.

Sebagai pengguna seperti saya, sudah pasti, langkah berjimat cermat perlu ada dalam berbelanja. Maklumlah semasa berpuasa, apabila melihat juadah yang dijual di pasar-pasar Ramadhan pasti membuka selera yang amat sangat. Apa tidaknya, kebanyakkan juadah yang dihidangkan pula jenis yang jarang ditemui pada hari-hari biasa.

Sebagai nasihat saya, eloklah berbelanja dengan berpada-pada. Bagi saya sendiri juadah untuk berbuka puasa hanyalah ringkas iaitu satu jenis kuih, nasi dan dua jenis lauk (sayur & daging). Jangan lupa pula dengan buah Kurma. Ia sudah cukup memenuhkan perut kosong seharian. Kalau makan melebih nanti berat pula badan nak pergi solat terawikh. 

Walaupun solat terawikh adalah amalan sunat, namun jangan pula dilupakan solat wajib. Sesetengah orang, ada yang rajin solat terawikh, namun solat lima waktu sering terabai. Harap-harap tidak berlaku lah ye kes sebegitu.

Apapun saya mengucapkan selamat meneruskan ibadah puasa dan selamat menunaikan solat terawikh. Dapatkan sebanyak mungkin keberkatan dan ganjaran Allah s.w.t.

Labels: , , ,